Sep 3, 2011

Noramfaizul Pernah Terselamat Nahas Helikopter 13 tahun lalu





Jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, semalam, pernah terselamat dari nahas helikopter 13 tahun lalu apabila tempatnya digantikan dua jurukamera lain. 

Dalam kejadian pada 2 Mac 1997 itu dua jurukamera Filem Negara dan seorang juruterbang terbunuh apabila pesawat ringan Cessna 172 milik Mofaz Air yang ditugaskan membuat tinjauan udara untuk kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi 1997 terhempas di kawasan belukar berpaya di Kampung Bakau, Kelibang, Langkawi.

Rakan baik Allahyarham, Mazalan Rafji berkata peristiwa itu adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya bersama Allahyarham yang ketika itu sama-sama bertugas sebagai jurukamera Filem Negara.
Mengimbau kembali peristiwa itu, Mazalan berkata, mereka bernasib baik kerana pada mulanya ditugaskan membuat tinjauan udara untuk kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi 1997, namun pada saat akhir, dua jurukamera lain menawarkan diri menggantikannya secara sukarela. 

"Kami sama-sama bertugas luar dan ketika itu kami ditugaskan membuat liputan untuk Le Tour de Langkawi. Waktu itu saya ingat Allahyarham pun turut terbabit sama dan dijangka menaiki pesawat untuk buat 'aerial shot' dalam masa yang sama ada juga ada jurukamera lain yang sukarela untuk naik. Jadi, Allahyarham terlepas bersama saya," katanya kepada BERNAMA di sini hari ini. 

Pesawat itu disewa khas oleh Filem Negara untuk membawa kedua-dua jurukamera membuat rakaman perlumbaan basikal peringkat akhir Le Tour de Langkawi 1997. 

Mazalan yang kini bertugas sebagai jurukamera di RTM Ipoh berkata, beliau bersama-sama Allahyarham kemudiannya bertukar kerja ke syarikat produksi MetroVision. 
  "Tidak lama selepas syarikat itu ditutup, kami berdua menyertai BERNAMA TV dan saya kemudiannya bertukar ke RTM sejak 11 tahun lalu," katanya. 

Sepanjang perkenalan, Mazalan menyifatkan Allahyarham sebagai individu yang sangat menghormati senior dan komited terhadap kerjayanya


sumber : Berita Harian