May 26, 2010

ER-6F : Superbike




MELIHAT dari depan serta berdasarkan kedudukan lampu utama yang dipecah dua, model ER-6F edisi 2010 cukup menarik kerana jentera yang dihasilkan jurutera Kawasaki itu bagaikan sebuah superbike.
Kuasa serta daya pecutan model sebelum ini iaitu ER-6N, tidak banyak berubah, tetapi pemilik ER-6F boleh berbangga kerana reka bentuk ini 'mengancam' selaras impian pengeluarnya menjadikan jentera itu supersport moden.
Enjin 649cc yang dipasang pada ER-6F memang terbaik dan cukup selesa ditunggang dan memintas kenderaan lain tanpa perlu menukar gear.

Kawasaki turut membuat pengubahsuaian terhadap lampu utama serta fairing sekali gus menambah kehebatan rupa jentera itu.

Enjin DOHC ER-6F yang menggunakan sistem sejukan cecair serta 8 injap 649cm padu itu digabungkan dengan silinder berkembar selari serta sistem suntikan petrol versi terkini dan menghasilkan prestasi enjin lebih lancar berbanding ER-6N.

Bagi mengelak enjin menjadi terlalu panas apabila membuat perjalanan jauh, ER-6F mempunyai saiz radiator 40mm lebih besar berbanding model sebelumnya dan penambahan itu membolehkan enjin beroperasi pada suhu biasa.

Untuk perjalanan jauh, ER-6F menawarkan keselesaan kerana posisi tunggangan yang direka khas menerusi kerangka yang lebih kecil membuatkan penunggang tidak mudah merasa penat.

Perubahan pada kerangka itu juga mengurangkan sebarang gegaran dan pengendalian lebih lancar kerana ciri-ciri lengan ayun baru yang digunakan mampu mengimbangi pergerakan yang dilakukan penunggangnya.

Untuk memacu sebuah jentera dengan kuasa yang begitu besar memerlukan sistem brek keselamatan yang boleh diharapkan dan untuk itu, Kawasaki menggunakan brek depan dan belakang daripada jenis cakera.

Di bahagian depan, cakera berkembar 300mm digunakan dan di belakang, Kawasaki menggunakan cakera tunggal bersaiz 220mm. Penggunaan saiz yang tepat itu memberikan kuasa pemberhentian yang optimum serta meyakinkan.

Sejak kebelakangan ini, ER-6F semakin banyak dilihat di jalan raya di negara ini kerana selain harganya yang berpatutan (di bawah RM40,000), ia mampu mencelah dalam keadaan yang sibuk.

Sumbe : metro

No comments:

Post a Comment