Nov 23, 2010

Program latihan askar wataniah diperkenalkan pada kursus PTD

Program latihan Askar Wataniah akan diperkenalkan sebagai satu kurikulum kursus Diploma Pengurusan Awam, yang diikuti pegawai muda Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain modul latihannya sendiri, INTAN akan turut menerapkan modul kursus perkhidmatan berpakaian seragam lain seperti Bomba dan Penyelamat dan Polis Diraja Malaysia.

"Ia akan dilaksanakan pada pengambilan bulan ini," katanya pada majlis pelancaran pasukan sukarela Askar Wataniah di JPA di sini, hari ini.
Pada September lalu, Abu Bakar berkata, JPA sedang melakukan kajian untuk merombak modul kursus pegawai PTD bagi menambah baik program sedia ada.

Mengulas program Askar Wataniah JPA, Abu Bakar berkata, penekanan latihan yang berkaitan elemen patriotisme, ketahanan psikologi, keutuhan disiplin dan kecergasan jasmani mempunyai kekuatan dalam pembangunan dan pemantapan modal insan penjawat awam bagi membantu transformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

Beliau berkata, program latihan Askar Wataniah itu akan diperluaskan kepada kementerian lain secara berperingkat.

"Hasil kajian yang dilaksanakan oleh JPA menunjukkan kesediaan pegawai awam di JPA dan seluruh sektor awam berminat untuk menyertai pasukan berorientasikan sukarela,” katanya.
Abu Bakar berkata, JPA akan menubuhkan sebuah Unit Khas yang akan memfokuskan kepada pelaksanaan Askar Wataniah warga JPA.

"Difahamkan Rejimen 515, JPA akan memantau latihan Askar Wataniah bagi wargaJPA di Putrajaya, Cyberjaya, Bangunan Sapura@Mines dan Bukit Kiara," katanya.

Beliau berkata, latihan akan diadakan setiap minggu sehingga warga JPA layak ditauliahkan sebagai Askar Wataniah oleh Yang di-Pertuan Agong dan kemudiannya dapat menikmati pelbagai keistimewaan seperti peluang lawatan, tuntutan elaun, sagu hati tahunan dan pakaian seragam.

No comments:

Post a Comment